ciri ciri tujuan, peranan serta definisi Ukhuwah Islamiyah
UKHUWAH ISLAMIYAH
1.
Definisi Ukhuwah Islamiyah
Ukhuwah Islamiyah (persaudaraan Islam) /
ukhuwah filLah (persaudaraan kerana Allah) ialah segugusan perasaan saling
hormat menghormati, percaya mempercayai, mahabbah dan kasih sayang antara
sesama individu atas asas aqidah Islamiyah, atau iman dan taqwa.
Ia juga adalah suatu jalinan / perpaduan
antara dua hati orang-orang beriman, yang tulus ikhlas, sama-sama menikmati;
suasana kesetiaan dan kejujuran dalam persahabatan / persaudaraan, saling
mendahulukan kepentingan saudara, berat sama dipikul ringan sama dijinjing,
senang sama ketawa gembira, susah sama menangis berduka, ke gunung sama didaki
ke lurah sama dituruni, menelentang sama menadah embun meniarap sama memamah
pasir.
Ukhuwah
Islamiyah adalah satu tuntutan agama.
Firman Allah
swt:
إنَّمَا
المُؤْمِنُونَ إِخْوَة
“Sesungguhnya
orang yang beriman itu bersaudara.”[Qs.49 (al-Hujuraat):10]
Firman ini
menegaskan bahawa ukhuwah Islamiyah merupakan, nikmat suci yang menyinari
hati-hati yang diredhai Allah swt, hati-hati yang sempurna iman. Suatu anugerah
pemberian Allah Ar-Rahman Ar-Rahim kepada hamba-hambaNya yang benar-benar
beriman dan benar-benar ikhlas.
Ukhuwah
Islamiyah / ukhuwah fillah,merupakan satu sifat yang mengiringi keimanan; TIADA
UKHUWAH TANPA IMAN DAN TIDAK SEMPURNA IMAN TANPA UKHUWAH. Jalinan persahabatan
tanpa keimanan hanya merupakan pertemuan kerana kepentingan, saling bertukar
budi, bila tiada lagi kepentingan, persahabatan itu pun luput dan lenyap
ditelan masa. Keimanan yang tidak membuahkan ukhuwah, petanda iman tidak
sempurna, iman yang tidak sihat yang memerlukan rawatan.
2.
Keutamaan
ukhuwah
A.
Mendapat Kecintaan Allah swt.
Dua hati, antara
dua orang yang bersahabat, yang menjalin persahabatan atau persaudaraan kerana
Allah swt, akan mendapat balasan dari Allah swt iaitu Allah Ta’ala akan
mencintai kedua-dua mereka. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada RasululLah
saw: “Bahawa seorang lelaki pergi menziarahi saudaranya yang tinggal di sebuah
kampung, lalu Allah Ta’ala mengutus seorang malaikat untuk mengawasi
perjalanannya itu. Ketika sampai, malaikat bertanya: “Hendak bertemu siapa?”
Jawab lelaki itu: “Saya hendak bertemu dengan saudara saya yang tinggal di kampung
ini.” Malaikat bertanya pula: “Apakah kamu akan dapat sesuatu daripadanya?”
Jawab lelaki itu: “Tidak, tetapi saya mengasihi, merinduinya kerana Allah.”
Malaikat berkata: “Aku diutus Allah kepadamu untuk memberitahu, bahawa Allah
mencintamu seperti mana kamu mencintai saudaramu itu.” Allahu Akbar wa lilLahi
al-Hamd…adakah di sana cinta agung tandingan yang didamba setiap sekeping hati
selain cinta agung yang tulus mulus dan terjamin tidak ada masa surut, khianat
dan curangnya ini?.
B.
Mendapat perlindungan Allah Ta’ala di hari akhirat
Daripada Abu
Hurairah r.a. bahawa RasululLah saw bersabda:
“Pada hari
kiamat, Allah akan berfirman (menyeru): “Manakah orang-orang yang (dulu semasa
di dunia) saling mencintai kerana KeagunganKu? Hari ini Aku akan melindungi
mereka, sebab hari ini tidak ada perlindungan selain daripada
perlindunganKu.”” [Hadis Muslim]
C. Berada
di atas mimbar-mimbar cahaya
Hadis qudsi
daripada ‘Ubadah bin Shomit, Allah swt berfirman; “KecintaanKu hanya untuk
orang-orang yang saling mencintai, saling menghubungkan silaturrahim dan saling
berkorban keranaKu. Orang-orang yang saling mencintai keranaKu, akan berada di
atas mimbar-mimbar cahaya. Para nabi, sahabat dan syuhada merasa cemburu
terhadap mereka”. [Hadis Ibnu Hibban dll]
D.
Beribadah dengan amal yang paling utama.
Daripada Mu’az
bin Anas, RasululLah saw telah ditanya: tentang apakah amal yang paling utama?,
Jawab RasululLah saw: “Kamu mencintai dan membenci kerana Allah dan kamu
menggunakan lidahmu untuk mengingatiNya.” RasululLah saw ditanya lagi: “Apa
lagi wahai RasululLah?” RasululLah saw menjawab: “Bahawa kamu suka untuk
manusia apa yang engkau suka untuk dirimu sendiri dan engkau tidak suka untuk
manusia apa yang engkau tidak suka untuk dirimu sendiri.” [Hadis Imam Ahmad]
E.
Terhindar dari rasa takut dan dukacita
Umar r.a
meriwayatkan, bahwa RasululLah saw bersabda:“Di antara hamba-hamba Allah ada
manusia yang bukan para nabi dan bukan pula para syuhada, tetapi pada hari
qiamat para nabi dan para syuhada cemburu kepada mereka kerana kedudukan
(istimewa)nya di sisi Allah.” Para sahabat bertanya; “Wahai RasululLah!
Beritahu kami siapakah gerangan mereka itu?” Rasulullah saw menjawab: “Mereka
adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, bukan kerana hubungan
keluarga dan bukan kerana harta yang mereka saling berikan. Demi Allah! Muka
mereka itu bercahaya, mereka berada di atas cahaya, tidak merasa takut ketika
orang-orang lain merasa takut, tidak berdukacita ketika orang lain
berdukacita”.
Kemudian
RasululLah saw membacakan ayat:
أَلآ
إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَهُمْ يَحْزَنُونَ
“Ingatlah,
sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada rasa takut dan mereka tidak
bersedih hati”. [QS.10 (Yunus):(62)]
F.
Terampun segala dosa.
Riwayat
ath-Thabrani, RasululLah saw bersabda:
“Sesungguhnya
seorang muslim apabila bertemu dengan saudara muslimnya, lalu berjabat tangan,
gugurlah dosa kedua-duanya sebagaimana berguguran daun-daun dari pohon ke bumi
di suatu hari yang berangin kencang, diampunkan dosa kedua-duanya walaupun
dosanya seperti buih di lautan”.
G.
Mengecapi kemanisan iman
RasululLah saw
bersabda:
“Tiga perkara,
sesiapa yang terdapat ketiga-tiga perkara tersebut dalam dirinya, ia akan
mengecapi kemanisan iman, iaitu; bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya
dari yang lain, bahawa ia tidak mengasihi seseorang kecuali kerana Allah dan
bahawa ia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci dilontarkan ke
dalam neraka”.
Menumbuhkan rasa
persaudaraan.
Melihat kepada
faedah ukhuwah yang banyak itu, sudah pasti kita semua ingin meraihnya.
Justeru, bagaimanakah menumbuhkan rasa persaudaraan itu?
1. Iman
yang sempurna.
Keimanan yang
sempurna menuntut setiap mukmin menjalankan urusan setiap aspek kehidupannya
berdasarkan hukum-hukum al-Quran dan hadis-hadis RasululLah saw. Mukmin ini
bagaikan al-Quran yang berjalan di muka bumi. Wahyu-wahyu Allah SWT adalah amal
perbuatan, denyut nadi dan jantungnya. Pada ketika itu jiwa-jiwa para mukmin
bertaut dalam satu kesatuan padu, kesatuan akidah, matlamat, neraca, pemikiran,
perasaan dan lain-lain lagi.
Imam Malik
hairan melihat seekor merpati berkawan dengan seekor gagak, spontan ia berkata:
“Kedua-duanya dapat bersatu, padahal jenisnya tidak sama?.” Ketika burung itu
terbang, ia melihat kedua-dua burung itu dalam keadaan cacat, lalu ia berkata:
“Sebab itulah burung itu dapat bersatu”.
2.
Menyebar dan menghayati ucapan salam
Nabi saw
bersabda:
“Demi Allah yang
jiwaku berada di tanganNya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman
dan kamu tidak (sempurna) beriman sehinggalah kamu saling mencintai, mahukah
aku tunjukkan suatu perkara, apabila kamu lakukan, kamu akan saling berkasih
sayang? Sebarkanlah salam di antara kamu”. [Hadis Muslim]
Firman Allah :
"Tiadalah
yang diucapkan (oleh Muhammad) itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapan
itu tidak lain adalah wahyu Allah yang diwahyukan kepadanya“
[QS. 53 (An-Najm), 3-4]
Menyebarkan
salambukanlah sekadar ucapan di bibir sahaja. Ucapan salam bukan azimat atau
tongkat sihir, bila diucapkan, terus menyentuh hati-hati yang hitam oleh asap
kemungkaran, kedengkian, saling sakit hati, bermusuhan, berkelahi, tuduh
menuduh, curiga mencurigai, tiba-tiba secara spontan akan menjadi putih,
bersinar dengan nur kasih sayang dan ukhuwah. Sudah tentu tidak! Tetapi
pastikan ucap salam itu mengandungi tiga pengertian yang luhur ini:-
Pertama: Mengandung
Erti Cinta dan Kasih-Sayang.
Bila bertemu
dengan saudara muslim, tunjukanlah wajah ceria dan bahagia, hulurkanlah tangan
dan jabatlah tangan saudaramu dengan ikhlas dan penuh rasa kasih-sayang.
Buangkan segala rasa negatif yang bersarang di hati antara kamu berdua oleh
hasutan syaitan terkutuk!!!. Satukan kedua-dua hatimu dengan ikatan kasih sayang,
iringi ucapan salam itu dengan lafaz; “ يَا
أَخِى – اختى إِنِّى أُحِبُّكَ ”
Maksud
"Saudaraku, aku sayang / kasih padamu".
Jawablah bisikan
kasih cinta saudaramu dengan lafaz;
“أَحَبَّكَ اللهُ الَّذِىْ مِنْ اَجْلِهِ
اَحْبَبْتَنِي ”
Bermaksud "
Semoga Allah menyayangi / mengasihi -mu yang demi Dia kamu menyayangi /
mengasihi -ku".
Adakah suatu
suasana yang lebih indah dan manis daripada ini? apakah kekuatan yang membentuk
dan melahirkannya? Inilah salam yang sarat makna, salam limpahan rasa kasih
seorang saudara kepada saudaranya, duta kesatuan jiwa. Ia bagaikan minuman
bermadu, minumlah sebanyak-banyaknya, ambillah daripada sumbernya seberapa
banyak yang kamu kehendaki. Setiap kali diminum, akan menambah keinginan dan
selera untuk meminumnya lagi, ia terjamin dapat menghilangkan dahaga kasih
sayang oleh panas terik prasangka, perkelahian, permusuhan, dengki mendengki,
tersalah kata, terkasar bahasa dan sebagainya. Ia bagaikan sinar mentari,
hilang kabus nampaklah terang!!!Gunung kasih sayang tunggak kesatuan meraih
kemenangan!!! Jalan bahagia dunia dan akhirat. Jalan satu-satunya menuju
syurga.
BUKANKAH KITA PERINDU-PERINDU SYURGA?!!!
Jangan Diucap
dengan Jiwa Hampa.
Ucapan salam
adalah tanda kasih-sayang di antara dua hati yang saling menyayangi. Justeru
itu jangan diucapkan dengan jiwa hampa, sambil lewa, dingin dan tanpa semangat
tetapi ucapkanlah dengan penuh rasa rindu, cinta kasih dan semangat
persaudaraan Islam kerana mengucapkan salam kepada saudara seagama (akhi
filLah) bererti memohon dicurahkan rahmat dan berkat kepadanya daripada Allah
‘Azza wa Jalla Pencipta Langit, maka janganlah ini dipandang remeh.
Kedua: Ucapan
salam di awal pertemuan, adalah suatu perisytiharan “PEACE” damai,
aman, tenang dan sejahtera kerana dalam suasana bersama-sama itu, apa yang
didamba hanya untuk menikmati suasana yang menyenangkan dan membahagiakan.
Bahawa kedua-duanya benar-benar tidak akan menyakiti, tidak membahayakan
saudaranya, tidak akan berdusta, menipu, berbuat jahat, bermusuh, mengumpat,
mencaci, buruk sangka serta menghina dan tidak akan melakukan suatu apa pun
yang menyakiti saudaranya. Seandainya hal itu terjadi bererti ucapan salam itu
dusta dan hanyalah omong kosong. Apakah balasan bagi orang yang berdusta???!
Firman
Allah:
إِنَّمَا
يَفْتَرِى الْكَذِبَ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِئَايَـتِ اللهِ
“Sesungguhnya
yang melakukan dusta, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat
Allah”.[QS. 16 (An-Nahl): 105]
Ketiga: Mengandungi
doa dan harapan agar Allah swt melimpahkan keberkatan dan kebaikan kepada
sesama saudara (bukan sahaja tidak menyakiti).
Ucapan memberi
jaminan agar dalam suasana bersama-sama dan dalam persaudaraan / persahabatan
itu, tidak akan berlaku percakapan, perbincangan, perancangan, perbuatan
kecuali yang baik-baik dan tidak akan ada sama sekali membicarakan hal-hal
orang lain kecuali yang baik-baik semuanya. Ucapan salam sarat dengan doa
memohonkan rahmat dan berkat daripada Allah swt untuk sesama saudara
muslim.
Nabi saw
bersabda tentang dirinya:
“ Saya adalah
rahmat dan petunjuk.”[Hadis Al-Hakim dan ad-Dhahabi]
Adapun
syarat-syarat Ukhuwah adalah seperti berikut:-
1.
Ikhlas lilLahi Ta’ala
2.
Disertai iman dan taqwa
3.
Ke arah melaksanakan syariat
4.
Saling menasihati
5.
Tolong menolong dalam masa senang dan susah
Cara memperkukuhkan
Ukhuwah pula adalah :
1.
Memberitahu bahawa ia mengasihinya
2.
Memohon doanya ketika berjauhan
3.
Ceriakan wajah ketika bertemu
4.
Segera berjabat tangan
5.
Saling ziarah menziarahi
6.
Mengucapkan tahniah dan menggembirakannya sesuai sempena.
7.
Saling memberi hadiah
8.
Berusaha memenuhi keperluannya
9.
Menunaikan hak-hak ukhuwah.
Terdapat banyak
hadis-hadis tentang Ukhuwah antaranya:
“Barangsiapa
mengangkat seseorang menjadi saudaranya kerana Allah, Allah akan mengangkatnya
satu darjat di syurga, yang tidak akan diperolehi dengan satu pun amal
ibadahnya.”
“CintaKu
merupakan hak orang-orang yang saling mencintai keranaKu, cintaKu merupakan hak
orang-orang yang saling mengunjungi keranaKu, cintaKu merupakan hak orang-orang
yang saling berlumba berjuang fisabilLah keranaKu dan cintaku merupakan hak
orang-orang yang saling berhubung keranaKu.”
“Seorang yang mencintai saudaranya kerana Allah sebenarnya
ditelah memuliakan Allah Yang Maha Mulia dan Maha Agung.”
“Apabila seorang muslim menziarahi saudara muslim
semata-mata kerana Allah atau menziarahi saudaranya yang sedang sakit, berkata
Allah : Engkau dirahmati dan engkau telah membina sebuah tempat tinggal di
dalam syurga.”
“Sesungguhnya
orang yang paling Aku cintai di antara kalian adalah yang paling baik
akhlaknya: yang rendah hati, yang paling akrab dan mudah diakrabi. Sedang yang
paling Aku benci di antara kalian ialah orang yang kemana-mana menabur fiitnah,
yang memecah-belah orang yang saling mencintai dan yang saling mencari cacat
orang yang bersih.”
“Orang mu’min
itu tempat kasih sayang, maka tidak ada kebaikan bagi yang tidak mengasihi dan
tidak dikasihi.
Comments
Post a Comment